Follow Us @soratemplates

Monday, September 12, 2011

Hulurkan lah kemaafan..

Allah mengampunkan dan memberi peluang kepada hambaNya, dan apa hebatnya kita untuk tidak memaafkan dan tidak memberi peluang kepada manusia lain...
Masuk syurga itu kerana rahmat Dia, bukan ilmu, atau amalan kita...
Allahurabbi..
Terkesan dengan kata - kata ini.. seperti menempelak diri sendiri.. :( Bercerita tentang diri sendiri, ummi mengakui diri ini juga serba dhaif dan serba kekurangan. Namun, kekadang hasutan syaitan boleh membuatkan kita hilang kewarasan..

Gambar sekadar hiasan :
Abang Muadz beraya dengan pok tok ~ Aidilfitri 2011

Selama ini, ummi merasakan diri ummi adalah seorang yang sangat pemaaf.. InsyaAllah setiap kesilapan yang di lakukan oleh orang lain terhadap ummi, mudah untuk ummi memaafkan nya.. namun, kali ini.. ummi di uji dengan ujian yang begitu berat yang kekadang terasa sangat - sangat payah untuk merelakan kemaafan itu..

Ya Allah, ampunkan diri ku.. dan ampunkan lah juga orang yang membuat salah kepada ku itu.. Semoga kami sama - sama mendapat keampunan dariMu.. dan Jannah tempat kami berdua.. moga ku dapat melupakan segala kesalahan nya itu.. sesungguhnya Engkau lah Yang Maha Pengampun dan Maha Pemurah.. Ampunkan lah dosa kami.. dan terimalah taubat kami.. Ameen Ya Rabbal Alamin..
Sebenarnya baru membaca satu cerita yang di petik dari  Luv Islam yang bertajuk "Aku Benci Isteri Aku..".. Sedih bila membaca kisah Jazrin yang di benci oleh suami nya sendiri, lantaran kesilapan nya yang lampau.. namun, kesedaran yang di berikan oleh Allah kepada suami nya itu akhirnya membawa kebahagiaan kepada mereka berdua. Semua nya kerana sebuah KEMAAFAN..

Walaupun kisah ini tidak bersangkut paut pun dengan kisah ummi, tetapi apa yang ummi dapat kutip darinya adalah betapa berharga nya sebuah Kemaafan itu.. Hasil dari kemaafan yang di hulurkan, membolehkan kedua - dua pihak dapat mengecapi kebahagiaan..

Doa ummi, semoga diri ini juga di berikan ketenangan oleh Allah SWT dengan memberikan kemaafan kepada 'si dia'.. agar hidup kami sama - sama akan mendapat keberkatan dariNya.. InsyaAllah..

Kisah : Aku Benci Isteri Aku..

Assalamualaikum semua, semoga cerita ini bakal memberikan sedikit kesedaran pada diri kita agar tidak biadab terhadap rezeki Allah dan sombong ketika berdoa atas muka bumi Allah.
Bismillahirrahmanirrahim
Ini cerita isteri saya. Orang tua aku telah pinangkan aku tanpa persetujuan aku, ketika aku dapat tahu yang aku bakal dinikahkan, cuma tinggal seminggu saja lagi, kelengkapan telah siap, kad kahwin juga telah diedarkan, ketika itu tiada jalan untuk patah balik. Atas alasan apa ibu bapaku laksanakannya hanya Allah saja yang tahu, sungguh inilah realiti hidupku, jika Allah kehendaki sesuatu pasti Dia akan buat dan tiada satu tangan pun yang mampu halang, memang, 3 bulan yang lalu ada aku nyatakan hasrat aku untuk menikah, tapi bukan dengan cara begini.

Sebelum itu, nama isteriku, Jazrin, (bukan nama sebenar). Sebenarnya, sudah lama aku kenal dia, sejak dari kecil lagi, aku dan Jazrin sebenarnya berjiran. Aku masih ingat, ketika kami tingkatan satu, dia seorang yang sangat naïf, buktinya Jazrin ada mewakili untuk pertandingan pidato, perbahasan, malah dia sangat disayangi cikgu. Tetapi bila sampai tingkatan 3, sikapnya mula berubah, tudungnya yang sentiasa labuh bila lama kelamaan, semakin pendek, kemudian bila tingkatan 5, kami dikejutkan yang dia ditangkap oleh guru atas kesalahan merokok dan ‘dating’. Tapi bila exam, jarang sekali dia gagal, malah susah untuk dapat C. Memang pandai, tapi akhlak entah kemana.


Sampai masanya, aku sambung belajar, dalam lingkungan umur itu, sepatutnya masing-masing sambung belajar atau kerja, tetapi tidak bagi Jazrin, dia lebih selesa tinggal dirumah menganggur. Pernah satu ketika aku pulang kerana cuti semester, pukul 6.30 aku keluar ke masjid bersama ayah, untuk solat maghrib dan ceramah pada malam itu, kelihatan Jazrin bersama kawan-kawan lelaki sedang melepak, rambutnya kuning, dan paling menyedihkan, ada seputung rokok dihujung jari Jazrin. Ya Allah, bencinya aku melihat gelagatnya rasa nak lempar pasir saja pada muka dia, harap muka saja cantik, tapi, masyaAllah!


Pulang saja kami dari masjid, mereka masih berada disitu, malah lebih ramai, aku bertanya kepada ayah, kemana ibu bapa Jazrin, jawab ayah, mereka ke Indonesia atas urusan perniagaan. Sehinggalah satu hari, seperti ombak aib menghempas kemuka ibu bapa Jazrin, Jazrin hilang lari dari rumah. Seminggu ibu bapa Jazrin berendam air mata dan sepanjang seminggu itu jugalah tak putus-putus ibu bapanya mengadakan bacaan yassin dirumah mereka, dan keluarga kami juga turut terkena tempias sama, ibu tidak pernah putus membantu memberikan semangat dan melibatkan diri dalam pencarian Jazrin, masakan tidak ia tidak terbeban buat kedua-dua pasangan suami isteri itu, Jazrin itu sajalah penawar dan racun buat diri mereka. Tepat jam 10.30 malam, bersama ayah sedang aku bertadarrus, ibu mendapat panggilan yang mengatakan Jazrin telah menyerah diri dibalai polis Johor Bharu. Ibu menangis kesyukuran, dan aku sendiri bercampur baur perasaannya, menyampah ada, lega pun ada. Hendak dijadikan cerita sepanjang tempoh seminggu itu, seluruh kegiatan sosial Jazrin terbongkar.


Siapa teman lelakinya, kelab malam mana yang menjadi kegemarannya, dadah, rokok dan arak jenis apa yang menjadi kegemarannya terbongkar. Semuanya terpalit kemuka kedua ibu bapanya, malu yang teramat sangat. Tapi saat itu tiada apa yang dipeduli, yang penting anak mereka selamat kembali ke pangkuan mereka. Begitulah betapa besar sayangnya ibu bapa terhadap anak. Busuk sekalipun, air dicincang tak mungkin putus. Ombak kembali reda. Saudara mara Jazrin tidak lagi kerumah membaca yassin, dan kami juga begitu, saya sendiri, tinggal beberapa hari lagi untuk kembali ke kolej untuk memulai semester akhir.

1 tahun aku ke Sabah menghabiskan pengajian, dan setelah tamat aku tinggal dirumah sementara menunggu hari graduasi. Namun masa tidak aku bazirkan sewenang-wenangnya melainkan aku cuba mendapatkan pekerjaan yang sesuai sementara menunggu hari tersebut. Pernah pada satu hari, aku keluar membeli sarapan pagi, aku melihat seorang wanita muslimah bertudung litup sedang menyidai kain, sangkaan aku itu orang gaji pada keluarga Jazrin. Tetapi bila aku amati betul-betul, sah memang itu Jazrin. Alhamdulillah, banyaknya dia berubah. Sungguh kesilapannya telah banyak mengajar. Tapi bukan bermakna aku mahu dia sebagai isteri aku, aku tak mahu mengenangkan kehidupannya dulu. Darah dagingnya telah terpalit benda-benda haram, mana mungkin aku mahukan zuriat dari orang seperti dia.
Tetapi tanpa disangka-sangka, apa yang bermain-main dalam fikiranku benar-benar berlaku. Aku dan Jazrin akan dinikahkan tidak lama lagi.


3 bulan telah berlalu dan kami tidak pernah berbual apatah lagi aku menyentuhnya, melihatnya membuatkan aku benci. Terimbas segala perbuatannya dahulu, dan terbayang gejala dia bergaul bebas dengan lelaki berhidung belang. Sungguh aku benci.
Sehinggalah satu hari, dia menyediakan minuman dan menghulurkan air tersebut pada tanganku, air tersebut panas, bila memegang gelas panas tersebut tanganku pantas melepaskannya kerana tidak tahan menahan panas dari air tesebut, terus gelas itu pecah, dan Jazrin, tanpa bersuara apa-apa pantas mengutip serpihan kaca di hujung kakiku, dan dia menangis. Melihatkan dia menangis aku menjadi keliru dan tidak teragak-agak untuk bertanya kenapa dia menangis. Masih terngiang-ngiang jawapan dia kepada aku.

‘maafkan saya abang, saya tidak mampu menjadi isteri yang baik, tetapi berilah saya peluang, saya tak mahu dihina diakhirat kerana menjadi isteri derhaka dan si penzina yang meminum arak, cukuplah satu dosa berat saya pada Allah’
Berilah peluang. Berulang-ulang kali perkataan itu muncul dalam benak. Seperti hujan yang menimpa atas diri saya, betapa besarnya dosa saya terhadap Jazrin, betapa angkuhnya saya, ya Allah betapa sombongnya dan jauhnya saya daripada mensyukuri nikmatmu. Semuanya kembali jelas dan kali ini air mata aku pula mengalir tidak henti-henti.

Semuanya datang dari Allah, darah daging yang pernah memasuki benda haram bukan bermakna akan lahirnya zuriat biadab, tetapi semua dengan izin Allah, Allah yang beri, tiada yang mustahil bagi Allah. Taubat Jazrin lebih tinggi nilainya, airmata dia lebih berharga berbanding aku, teguhnya dia pada syariat lebih tinggi kerana dia benar-benar telah ‘merasai pahit’ dosa berbanding aku yang sentiasa bergelumang dengan dosa kecil yang aku tidak sedari, Jazrin, dia lebih mengerti erti dosa berbanding aku. Allah, Dia telah berikan aku wanita yang cukup mulia, pandangan kemuliaan itu bukan dinilai dari mata manusia tapi dari Allah, Allah yang lebih tahu taubat hambaNya, sejak saat itu, dialah tulang belakang aku. Dialah Rabiatul Adawiyah aku, ya Allah terima kasih, aku lupa, aku alpa, apa saja ada pada pandangan manusia, dia telah berubah, Allah telah bersihkan dia dengan bersih-sebersihnya. Apa layaknya aku menilai dia. Allah mengampunkan dan memberi peluang kepada hambaNya, dan apa hebatnya kita untuk tidak memaafkan dan tidak memberi peluang kepada manusia lain, masuk syurga itu kerana rahmat Dia, bukan ilmu, atau amalan kita. Allahurabbi.


Semoga kisah hidupku menjadi teladan dan sandaran kepada manusia diluar sana yang ingin berumah tangga, jangan dilihat dia pada masa dulu, lihat dia pada masa sekarang. Allah menciptakan manusia penuh dengan kelemahan, kerana itulah kita mesti saling berkenalan dan membantu demi menuju Yang Satu.


DIPETIK DARI LUV ISLAM
Komen SK :
Kita tidak akan tahu setakat mana pemaaf nya diri kita, sehinggalah akan turun nya ujian kepada kita.. :( semoga ujian yang di datangkan ini memberikan seribu hikmah kepadaku.. dan menjadikan diriku seorang yang lebih pemaaf dari sebelum nya.. InsyaAllah..
“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.
Moga motivasi di bawah ini akan lebih bermanfaat untuk diri ini.. InsyaAllah..

Motivasi : Memberikan Kemaafan
dipetik daripada : Langit Ilahi

Dendam ibarat virus+bom jangka pada masa yang sama. Ia adalah virus yang menghakis kebahagiaan hati, juga bom jangka yang akan meledakkan kemarahan dan menghancurkan harmoni.
Dendam biasanya bermula dengan marah. Rasa tidak puas hati. Akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati ditegur. Kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, dan melakukan sesuatu yang buruk pada kita atau sengaja membuatkan kita marah. Maka kita timbulkan 1001 alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai lesen untuk menghamburkan amarah.
Mungkin kita akan rasa puas hati lepas marah-marah sebentar. Tetapi, ia memberikan luka yang dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.
Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan.
Sebab dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.
Bukan mudah
Memang tidak mudah. Kita akan rasa diri kita dipijak. Kita akan rasa bahawa kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan memaafkan maka kita kelihatan seperti pesalah.
Kita rasa bahawa: “Dia salah, maka dia kenalah merana atas kesalahannya”
Bukan mudah memaafkan. kita sedar, yang menghadang antara memaafkan dengan tidak adalah sebuah tembok bernama Ego.
Tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah-mudah sentiasa?
Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.
Maka, untuk mendapat ketenangan hati dari tindakan memaafkan orang ini, kita perlu mengorbankan ego kita.
Kita percaya bahawa, Allah akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang menganiaya kita.
“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.

Ganjarannya adalah keampunan Allah. MasyaAllah… hanya dengan memaafkan.
Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding kesakitan jiwa memendam amarah?

Memaafkan, jiwa tenang, tubuh sihat

Memaafkan mempunyai khasiat yang banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.

Sebagaimana Rasulullah SAW yang amat pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah SAW apabila baginda memaafkan seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.
Harun Yahya pula, ada menyatakan bahawa, dengan memberikan kemafaan pada orang lain, ini akan membantu kesihatan. Dua buku karangan orang bukan Islam, telah menyokong pendapat ini. Buku yang pertama adalah: Forgive for Good by Dr Federic Luiskin dan Forgiveness by Healing Current Magazine. Kedua-dua buku ini menyatakan betapa memaafkan itu dapat mengurangkan stress, dan mengekalkan kemudaan. Kedua-dua buku ini juga menyatakan bahawa, menyimpan dendam, menahan kemaafan adalah mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana, apabila mansuia berterusan marah, maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidan seimbang.

Islam sebagai satu cara hidup, yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui, ternyata telah merungkai perkara ini terlebih dahulu. Sebab itu, kita dapat melihat betapa tenangnya kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat, apabila mereka sentiasa memaafkan dan tidak pula berdendam.

Mereka tidak terjun merosakkan hati dan diri mereka dengan memanjangkan perkara yang tidak sihat.

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”
Surah Al-Furqaan ayat 63.

Adakah memaafkan itu menghalalkan perbuatan salah?

Bila kita memaafkan seorang pencuri, apakah kita menghalalkan tindakannya mencuri? Bila kita memaafkan seorang yang menganiayai kita, apakah kita menghalalkan tindakannya menganiayai kita?

Tidak. Perbuatan salah itu tetap salah.

Adakah memaafkan itu bermaksud tidak menegur?

Tidak. Kita tetap menegur.

Beza orang yang memaafkan menegur, dengan orang yang marah-marah menegur, orang yang memaafkan itu lebih bersih tegurannya. Dia tidak bersalut emosi yang melampau. Dia menegur memang betul-betul kerana dia faham tanggungjawabnya untuk menegur.

Apakah memaafkan ini bermaksud kita tidak boleh marah?

Tidak. Kita boleh marah. Tetapi bagaimanakah marah yang sebenarnya? Terbina di atas apakah kemarahan kita? Semestinya kita marah pun, mengikut neraca Allah SWT.
Memaafkan adalah untuk kita sebenarnya. Dengan memaafkan, bermakna kita sedang taat kepada Allah SWT. Memaafkan, bermakna kita sedang berusaha menaga jiwa kita.
Syaitan, menjadikan amarah manusia, sebagai kuda tunggangannya.

Penutup: Pilihan kita.

Kita sebagai manusia, diberikan pilihan untuk berikhtiar. Maka, kita tidak dipaksa untuk memaafkan mahupun untuk tidak memaafkan. Kita yang pilih.

Namun, setiap pilihan ada konsikuensinya yag tersendiri.

Apakah tidak memaafkan itu memberi manfaat yang besar pada diri kita, dan juga pada orang lain? Apakah memaafkan itu memberikan mudarat yang besar pada diri kita dan juga pada orang lain?

Sebab itu, dalam membuat pilihan, sebaiknya kita mengambil neraca Allah SWT. Kita tidak mengetahui, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah At-Taghabun ayat 14.

“Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”
Surah Asy-Syu’ara ayat 43.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Siapakah orang-orang yang bertaqwa?) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”
Surah Ali Imran ayat 133-134.

Justeru, pilihan di tangan kita.
Memafkan, atau tidak memaafkan.

No comments:

Post a Comment