Follow Us @soratemplates

Thursday, April 30, 2015

AKU DIINFAQKANNYA UNTUK MEMBANTU PERJUANGAN ISLAM

Assalamualaikum.

Sewaktu melewati catitan yang di forward ke dalam group WA kami ni.. dalam tak sedar berderai airmata.
Pilu dan sebak membacanya.

Tatkala semua orang sibuk menyambut Hari Pekerja, dan bersuka ria bersama keluarga, di sana sahabatku (senior sebenarnya) sedang menghadapi dugaan yang sangat hebat.
• Hilangnya seorang yang sangat mustajab doanya kepada seorang yang bergelar anak • 

Allahu..
Perginya di hari yang bahagia. Penghulu segala hari.. moga Allahyarhamah akan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan soleh..
Aameen.. Ya Rabbal Alamin..

# Kak Athirah ni senior dalam jemaah sewaktu saya belajar di USM. Seorang yang sangat saya kagumi kerana kecekalannya dalam berjuang bersama jemaah PAS..
Moga Allah kuat kan semangat Kak Athirah dan diberi ganjaran Syurga Allah...
Aameen..

-------------------------------○●○-----------------------------
AKU DIINFAQKANNYA UNTUK MEMBANTU PERJUANGAN ISLAM - PAS

Penghujung tahun 1999, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada waktu itu iaitu Ustazah Hjh Jamilah Ibrahim @ Mak Lah telah meminta aku untuk membantu Ahli-Ahli Dewan Negara (Senator) daripada kalangan Muslimat dalam segala urusan berkaitan Parlimen.

Selain tugas sebagai "Pegawai Khas Senator Muslimat", aku juga sekaligus diminta membantu urus tadbir Dewan Muslimat,memandangkan pada waktu itu bukan ramai yang sanggup kerja sepenuh masa dengan jamaah dengan gaji atau elaun yang rendah berbanding kelulusan akademik masing-masing.

Aku tidak keberatan memandangkan ia sudah menjadi janji dan bai'ah ku sejak Tamrin Tahun 2 yang diadakan di Taman Melewar di hadapan Presiden PAS ketika itu, almarhum Dato Ust Fadzil Noor dan Mak Lah sendiri.

Pun begitu, seperti biasa aku akan terlebih dahulu meminta izin daripada ibu ku terhadap apa sahaja perkara penting yang mahu aku lakukan. Demikian mama pula senantiasa maklumkan aku tentang apa jua yang dia mahu lakukan, barangkali untuk dapatkan "second thought". Ia suatu yang biasa kepada kami berdua.

Aku mengajukan tawaran Mak Lah kepada mama, reaksi awalnya ialah DIAM. Aku mengulas panjang untuk meyakinkannya, al maklum PAS pada ketika itu hanyalah lebih terkenal sebagai parti politik pembangkang.

Mama mendengar ku teliti...daya penaakulan dan pandang ke hadapannya memang sentiasa membuat aku teruja. Mama seorang ibu yang berpandangan jauh, kritis dan berani. Dia kemudiannya menekankan soal kebajikan dan masa depan ku, apakah itu akan diberikan perhatian oleh PAS. Sekaligus mengajak aku berfikir tentang apa yang sudah aku ada, yakni jawatan dan pendapatan sedia ada dengan apa yang PAS boleh berikan dan sediakan.

Mama bertanya PAS bagi berapa sebulan?....Aku diam....lama...kemudian menjawab perlahan ..hanya RM1,000 sebulan in shaa Allah.

Mama merenung aku tajam. Aku tahu dia terkejut. Aku tunduk. Mama bertanya "itu saja"?...Aku jawab "iyya...tetapi in shaa Allah RM1,000 itu akan lebih berkat berbanding yang aku dapat dengan kerja sebelum ini yang mencecah RM5-6 ribu sebulan."

Aku terus mengulas tentang keberkatan dan janji Allah...beberapa surah al quran aku petik...khususnya surah Muhammad ayat 7.

Ada sinar di wajah mama selepas mendengar kepetahan ku barangkali meyakinkannya...tetapi masih diam...tidak berkata iya atau pun tidak. Aku cemas.

Tiba-tiba ilham daripada Allah itu sampai...aku seraya menggunakan hujjah mudah...aku katakan kepadanya , "Allah telah anugerahi mama 7 orang anak, semuanya sempurna dan  hidup...sedangkan Allah hanya minta seorang sahaja untuk mama infaqkan kepada kerja-kerja Gerakan Islam PAS...dan itu pun Allah bukan ambil terus, tetap kekal menjadi anak mama yang in shaa Allah akan terus berbakti kepada mama dan keluarga...". Mama terus senyum dan berkata, "kalau kamu sudah fikir betul-betul dan rasa itu baik maka mama takkan menghalang..tapi buatlah betul-betul...".

Demikian mama ku, aku diinfaqkannya untuk membantu perjuangan Islam.

Walaupun aku duduk jauh daripadanya, setiap hari, pagi atau petang, siang atau malam kami selalu berhubung sehinggalah ke saat-saat mama ku dijemput menghadap ilahi malam tadi. Aku yang sudah lebih 8 hari  di PRK P044 Permatang Pauh, Pulau Pinang ketika itu menuju balik ke Kuala Lumpur untuk  menghadiri Himpunan 1 Mei Bantah GST, sempat memaklumkannya dan meminta DOA nya untuk keselamatan ku dalam perjalanan....

Kedengaran suaranya tidak seperti biasa, aku bertanya "mama ok?"...mama memaklumkan ringkas...katanya dia muntah, pedih ulu hati.. Aku katakan sekejap lagi aku akan hubunginya semula...bagi memberi ruang kepadanya..

Dan....kurang lebih 2 jam selepas itu rupanya aku sudah kehilangannya ...kehilangan DOAnya yang setiap hari aku minta...selama hayat ku yang dipinjamkan Allah...

"Assalamua'alaikum ma.."..itu kata-kata yang kini hanya mampu ku bisikkan di dalam hati....I missed you mother!

Aduhai Allah...
sungguh aku redha....tetapi izinkanlah aku untuk terus mengenangnya..dalam-dalam...

Terima kasih ya Allah..
Anugerahi untuk ku seorang ibu sebaik dan sehebat mama.

Rehatlah ma...yaumul jumuah!
Cant wait to see you.

Al fatihah...
Allahul musta'an.

🅰🅰🅰
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
1 Mei 2015, 08:41
Flight AK 5198

No comments:

Post a Comment