Follow Us @soratemplates

Friday, April 24, 2015

Andai Dia Pergi Dulu Sebelummu

Andai Dia Pergi Dulu Sebelummu

Untuk diri ini, dirinya dan untuk pembaca, saya tuliskan pesan dan amanat ini:

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedih seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan kepada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doaku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Tanyakan pada hatimu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anakmu, luaskan fikiran melampaui jangkauan kesedihan. Anak-anakmu punya masa depan. Di tanganmu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kautega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Katakan kepada diri, akan kugalas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagupun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia mampu tersenyum di alam barzakh. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada mata air pahala… yang mengalir selamanya… sentiasa!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Walaupun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu bukan akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh seluruh Ummahatul Mukminin ketika ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan itu. Jalan mujahadah di lebuh raya mehnah. Kau terpilih, bukan tersisih. Terpilih untuk merasai mehnah Ilahi, tradisi hidup Ummahatul Mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Sibukkanlah dirimu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah al-Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Menangiskan, bukan kerana kau lemah tetapi kerana fitrah, kerana telah begitu lama kau mengempang kesedihan!

Begitulah setiap kali Rasulullah bila terasa gundah… diadukannya kesedihan kepada Allah. Lalu masyhurlah kata baginda yang apabila nestapa melanda, “Aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakanku.

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milikku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah al-Malik. Dialah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki.

Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tetapi katakan padaku sentiasa ada yang menanti. Tunaikan amanah, perhebatkan ibadah semoga kita dan dia melangkah ke syurga!

Tulisan itu berhenti di situ. Seolah-olah tidak berdaya lagi hati meneruskannya. Untuk diri dan siapa sahaja yang bernama suami yang belum ditinggalkan, maka ingin jua saya berpesan agar hati tidak terkilan ketika dia meninggalkan.

Jika Dia Masih Bersama

Inilah pesan buat diri sendiri dan para suami yang telah berusia, sedangkan si dia masih di sisi:

Sungguh, kau jangan lupakan dia. Dia yang sejak awal rela untuk bersamamu – mengharungi denai dan ngarai. Pada segala kesusahan yang dirasainya sejak mula. Isterimu, adalah sayap kiri. Pelengkap kembara kita melayari suka dan duka, ria dan nestapa dalam kehidupan yang sementara. Aku pasti dia telah tua sekarang. Tenaga wanitanya pasti dipagut usia dan gelombang rasa.

Pada usia yang hampir mencecah pertengahan abad, tidak kira ketika kariermu sedang di puncak atau masih terus mendaki, kau tidak punya alasan untuk meminggirkan dia. Tergamakkah kau mematahkan tongkat yang membantumu melangkah, atau membakar jembatan yang telah membawamu ke seberang? Jangan, jangan begitu. Bukankah tidak bersyukur kepada manusia kekadang mencacatkan syukur kita kepada Allah?

Apa salahnya kauteladani Rasul yang mengenang jasa Sayidatina Khadijah? Isteri yang memberi selimut sewaktu Baginda kedinginan dilanda wahyu pertama? Ketika segalanya meminggir, Khadijah tega dan sedia menjadi insan terhampir. Segalanya diserahkan kepada perjuangan suami kerana dia dan suami adalah satu. Satu hati menegakkan kalimah yang satu di lautan berhala yang beribu!

Tergenang air mata Rasul bila mengenangkan Khadijah. Jauhari yang mengenalnya sewaktu gelap jahiliah. Orang lain buta, tetapi Khadijah tidak. Dia tetap mengenal permata di tengah celahan kaca. Lantas dia menjadi mahkota di hati Rasulullah. Dukacita Nabi atas pemergiannya diubati oleh peristiwa besar Israk dan Mikraj. Lalu Tahun Dukacita abadi dalam sejarah – nostalgia duka yang berbekas di hati Rasulullah.

Ketika hidupnya dan selepas pemergiannya, Rasul mengenangnya. Tatkala ada hidangan yang hendak dinikmati, sering Rasul berpesan, “Kirimkan kepada kawan-kawan Khadijah.” Siapa yang menghantar makanan ke gua Hira’ ketika Nabi Muhammad gelisah di tengah amukan jahiliah. Siapa pula yang menahan kesukaran untuk hamil dan melahirkan cahaya mata Rasulullah? Kita tentu akur bahawa srikandi cinta Rasul ialah Sayidatina Khadijah.

Walaupun isteri kita tidak sebaik Khadijah, kerana kitapun tidak semulia Muhammad, namun apa salahnya cinta sejati itu diteladani dalam mengharungi cinta suami-isteri masa kini. Yang berubah hanya ‘alat-alat’ teknologi, tetapi bukan soal hati. Hukum cinta tetap abadi dan hakiki – untuk disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi!

Jangan kau lupakan jasa insan yang bersama mu ketika kau ‘merangkak’ agar engkau tidak tersungkur semula bila sudah di puncak. Jika alam boleh bersuara, pasti semuanya akan mengingatkan betapa besarnya ‘saham’ seorang isteri pada kejayaan seorang suami.

Jangan kau melupakannya kerana melupakannya bererti kau melupakan dirimu sendiri. Jangan melihat ‘pucuk muda’ di hujung dahan sehingga kau lupa ‘akar tua’ yang menumbuhkan pepohonan. Insan semulia Muhammad itupun masih mengenangkan jasa isteri, apalagi kita insan yang biasa-biasa ini…

Jangan gigit tangan yang terus rela dan tega bersamumu dalam perjalanan ini. Kenang dan balas jasanya sementara dia masih ada. Pesanku, buatmu dan buatku jua… jangan lupakan ‘Siti Khadijah’ kita!

Sumber : GentaRasa

No comments:

Post a Comment